Pembentukan Masyarakat Majmuk
Saturday, 12 March 2016
Saturday, 5 March 2016
Wednesday, 24 February 2016
3.1 KOMPOSISI ETNIK DI MALAYSIA
MELAYU
•Penduduk asal, kumpulan terbesar di Malaysia
•Berasal daripada berbagai-bagai keturunan, iaitu Melayu Proto (Melayu
Purba atau
Melayu Asal), Melayu Deutero (Melayu Lama) dan Melayu Moden. (dari Timur
Tengah, India dan China)
CINA
•Merupakan etnik kedua terbesar selepas etnik Melayu dan Bumiputera.
•Berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-19 sebagai usahawan
Cina.
INDIA
•Etnik ketiga terbesar di Malaysia
•Masuk ke Tanah Melayu sebagai buruh tawanan dari Bengkulu, Indonesia
dan
sebagai buruh ladang.
MINORITI
•Orang Asli yang pertama dipercayai menetap di
Semenanjung Tanah Melayu
pada kira-kira 1,000TM.
•Negara ini merupakan salah sebuah kediaman yang terawal di
Nusantara
(Zahari Awang, 2014). Terdapat penemuan kesan peninggalan
prasejarah
di Lenggong, Perak dan Gua Niah, Sarawak.
•Penduduk terawal di negara ini ialah orang Asli di
Semenanjung Tanah
Melayu, orang Punan di Sarawak serta orang Rungus di Sabah.
***
JENIS KETURUNAN
MASYARAKAT MELAYU DAN CIRI-CIRI MEREKA
MELAYU PROTO
1. Berhijrah dari Yunan, Taiwan dan seumpamanya.
2. Kelihatan seperti orang Melayu dan fasih berbahasa Melayu.
3. Berkembang kepada suku kaum Semang, Senoi, Temiang, Jakun, Orang Laut dan orang Sungai.
4. Merupakan pembahagian daripada berbagai-bagai kaum yang menggabungkan beberapa suku kaum dan tinggal dalam lingkungan keluarga Melayu.
5. Berbadan pendek, berkulit gelap dan berambut kerinting.
6. Bilangan mereka lebih ramai berbanding dengan orang Melayu Deutero.
MELAYU DEUTERO
1. Juga dikenali sebagai Melayu Lama.
2. Keturunan Melayu yang mendiami kawasan Lembah Mekong dan Vietnam pada masa lampau, iaitu Melayu Funan dan Champa.
3. Kurang berhijrah, mempunyai bahasa seragam, dan majoritinya mendiami kawasan kampung dan dusun.
4. Berkebolehan dalam bidang pertanian, pembuatan besi dan logam.
MELAYU MODEN
1. Masyarakat bercampur dan berkahwin antara Melayu Proto dengan Melayu Deutero dan kumpulan yang datang dari Timur Tengah, India, China dan Eropah.
2. Kehidupan setanding dengan bangsa Eropah, China, Jepun, dan Korea.
3. Memilih untuk menjadi Melayu, fasih berbahasa Melayu, beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu, dan berbangga sebagai orang Melayu.
4. Hampir semua menetap di bandar.
5. Terdedah kepada kemajuan teknologi serta mempelajari pelbagai ilmu.
***
KETURUNAN
MASYARAKAT CINA
FAKTOR LAIN KEDATANGAN IMIGRAN CINA
1 China sering dilanda malapetaka, bencana alam dan
perang saudara.
2 Pelawaan saudara-mara etnik Kwantung yang terlebih
dahulu datang ke Tanah Melayu dan Asia Tenggara, menyebabkan masyarakat Cina
lebih tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
*Etnik Kwantung terdiri daripada orang Kanton, Teochew,
Hakka dan Hailam.
* Kebanyakannya terdiri daripada peniaga. Orang Hakka
bekerja sebagai pelombong bijih, manakala orang Hailam lebih suka membuka kedai
kopi dan menjadi orang gaji kepada pembesar Eropah.
***
KETURUNAN
MASYARAKAT INDIA
1. Masuk ke Tanah Melayu sebagai buruh tawanan dari Bengkulu,
Indonesia dan sebagai buruh ladang.
2. Bekerja sebagai buruh yang membina bangunan, jalan raya
dan jambatan. Namun, majoriti bekerja di ladang-ladang tebu, kopi dan teh
kepunyaan orang Eropah.
3. Pihak British turut membawa masuk orang Ceylon (Sri
Lanka) bagi berkhidmat sebagai kerani, pembantu hospital dan kakitangan
perkhidmatan kereta api. Jawatan-jawatan tersebut mengambil imigran India yang
berpendidikan Inggeris.
4. Suku Malayalee yang berpendidikan diambil bekerja sebagai
penyelia ladang-ladang dan estet-estet kepunyaan Inggeris.
*Mereka
datang dari wilayah Malabar, turut dikenali sebagai masyarakat Malabar, dan beragama Islam. Sebahagiannya
membuka kedai makan atau restoran.
5. Selain itu, terdapat juga masyarakat Punjabi yang datang
ke Tanah Melayu sebagai anggota polis dan memberi khidmat pengangkutan utama,
yakni kereta lembu yang menghubungkan kawasan perlombongan dengan
pengkalan-pengkalan di sepanjang sungai.
6. Hampir 90% etnik India di Malaysia berasal dari selatan
India, iaitu wilayah Tamil Nadu, Andhra Pradesh dan Malabar.
7. Hampir 80% masyarakat Tamil menganut agama Hindu.
***
KETURUNAN
MASYARAKAT MINORITI
SEMENANJUNG MALAYSIA
Jadual 3.1 menunjukkan kumpulan-kumpulan
orang Asli dan penempatan
mereka di Semenanjung Malaysia.
Etnik Serani:
Masyarakat
Portugis dan Belanda yang berkahwin dengan orang Melayu pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Etnik ini wujud di Melaka dan Pulau Pinang, serta merujuk kepada
semua orang yang berkacukan Asia dan Eropah. Mereka turut mempunyai kebudayaan
tersendiri dan asal usul yang menarik.
***
SARAWAK
1. Komposisi etnik Sarawak terbahagi kepada dua kumpulan;
penduduk persisiran (orang Melayu dan kaum Melanau) dan penduduk pedalaman
(kaum Iban, Bidayuh, Murut, Penan , Kayan, Kenyah, Punan, Kedayan dan Kelabit).
***
***
SABAH
1. Bermula di tepian pantai dan lembah-lembah sungai utama.
2. Terdiri daripada 23 etnik Bumiputera dan dikenal pasti
berdasarkan kawasan penempatan mereka.
3. Contoh etnik peribumi Sabah: Kadazan, Bajau, Dusun,
Murut, Loh Dayuh, Bisayah, Kadayun, Orang Sungai, Suang Lotud, Melayu/Brunei,
Suluk
4. Imigran Cina telah melebihi komposisi penduduk asal
Sabah. Ini menyebabkan etnik Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum yang
wujud hingga sekarang.
JENIS DAN CIRI-CIRI KAUM DI SABAH
Kadazan Dusun
1. Etnik terbesar di Sabah
2. Berhijrah ke Borneo Utara kira-kira 2,000 tahun yang lalu
3. Kegiatan ekonomi mereka bergantung kepada bentuk muka bumi dan kawasan penempatan yang didiami mereka.
Penduduk persisiran (suku Bajau, Suluk dan Brunei)
Menjalankan aktiviti menangkap hasil ikan dan memungut hasil laut dan hasil
hutan.
Etnik Murut
Kegiatan ekonomi mereka ialah menanam padi bukit (padi huma), memburu
binatang dan memungut hasil hutan.
***
3.1.5 SEJARAH
DAN LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
1. Sejarah awal penduduk Tanah Melayu berhubung kait rapat
dengan penduduk asal negara ini, iaitu orang Asli, yang juga dikenali sebagai
orang Melayu Proto yang tidak jauh berbeza dengan orang Melayu Moden.
2. Sistem sosial masyarakat Melayu telah mengalami perubahan
melalui kehadiran kaum-kaum lain, seperti etnik Cina dan India. Dalam erti kata
lain, masyarakat berbilang kaum terbentuk di negara ini.
3. Menerusi kegiatan perdagangan, seawal tahun Masihi lagi
kemajmukan masyarakat telah mula terlihat. Faktor penyumbang kepada berlakunya
perkara ini ialah kedudukan Tanah Melayu yang amat strategik, yakni di tengah
laluan perdagangan antara Timur dan Barat.
4. Hal ini telah menyebabkan Tanah Melayu menjadi fokus bagi
tempat persinggahan para pedagang yang belayar dari India, China, Eropah dan
Arab.
·
Orang Cina:
Hubungan keselamatan antara Maharaja China dengan Kerajaan Melayu Melaka.
·
Orang India:
Bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-4
5. Sejarah membuktikan kerajaan-kerajaan Melayu Tua seperti
Kerajaan Kedah, Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Gangga Negara telah menerima
pengaruh Hindu-Buddha hasil pembawaan pedagang India.
6. Selain itu, ramai pedagang asing telah berhijrah ke
Melaka disebabkan oleh kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Mereka berasal dari China, India, Arab, Eropah, serta wilayah Kepulauan Melayu.
3.2 PERPADUAN NEGARA & INTEGRASI
NASIONAL
Negara
menghadapi pelbagai masalah dalaman berkaitan masalah perpaduan dan integrasi
antara kaum selepas kemerdekaan. Masalah ini disebabkan oleh implikasi berikut:
a) Pemisahan
tempat tinggal menyebabkan kesepakatan kaum tidak dapat dicapai.
b) Perbezaan
pekerjaan menyebabkan ketidakseimbangan pendapatan dan menimbulkan masalah
perpaduan.
c) Sistem
pendidikan yang berbeza menyebabkan ideologi berbeza antara kaum masing-masing
dalam membina Pembangunan Negara.
d) Fahaman
politik berbeza antara kaum menyebabkan perpaduan susah dicapai kerana berbeza
fahaman mengakibatkan ketidakpuasan hati antara kaum.
e) Masalah
ekonomi akan menimbulkan masalah persefahaman antara kaum kerana kesempitan
hidup, ketidakseimbangan pendapatan serta sering berpecah-belah untuk mengaut
keuntungan dan sebagainya.
f) Perbezaan
kepercayaan atau agama, keturunan, bahasa dan adat resam yang berbeza
menimbulkan tiada toleransi dalam masyarakat kerana tiada pemahaman tentang hal
tersebut.
g) Sistem
pemerintahan penjajah juga merupakan punca kepada masalah perpaduan kerana
penjajah mengamalkan dasar pecah dan perintah serta rakyat di Malaysia tidak
memahami budaya, agama dan bahasa etnik lain.
Antara
langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani masalah ini
adalah seperti berikut:
a) Penyeragaman
sistem pendidikan – menyemai dan memupuk semangat perpaduan bermula di
peringkat sekolah. Perpaduan melalui pendidikan dan kurikulum yang bersepadu
serta seragam antara semua kaum. Penetapan Dasar dan Sistem Pendidikan yang
sempurna bagi setiap warganegara Malaysia.
b) Integrasi
ekonomi – melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) agar jurang kemiskinan dapat
dikurangkan dan seimbang di bandar serta luar bandar.
c) Penyatuan
fahaman politik – mewujudkan semangat satu negara dan persefahaman dalam satu
politik yang sama untuk mewujudkan serta mengekalkan perpaduan dan dapat
dibuktikan dengan penyatuan politik.
d) Aspek-aspek
sosial lain dijadikan satu cara mengekalkan perpaduan penduduk berlainan kaum
dan menentukan sifat-sifat terbaik dalam membina satu bangsa yang bersepadu dan
ketahanan daya yang tinggi.
Tambahan
lagi, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukun Negara dibentuk
untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Setiap warganegara perlu
menjadikan Dasar dan Rukun Negara sebagai satu ideology nasional dalam mencapai
perpaduan. Ianya adalah wajib bagi semua warganegara Malaysia bagi menjadikan
Rukun Negara sebagai teras kehidupan dalam menyemai unsur-unsur keamanan,
kesetiaan kepada Raja dan pemerintah, Perlembagaan, undang-undang dan saling
hormat-menghormati dalam sistem kebudayaan masing-masing. Melalui aktiviti
kebudayaan, perpaduan dapat dicapai kerana semua kaum dapat memahami kelainan
budaya kaum lain. Unsur-unsur kebudayaan kaum lain juga diterapkan dan menjadi
titik penemuan dan asas perpaduan ke arah mewujudkan satu identity nasional
bangsa Malaysia.
3.21 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI
PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Empat
faktor yang mempengaruhi hubungan etnik dalam aspek perpaduan dan integrasi
nasional di Malaysia:
a) Perkongsian kuasa politik di Malaysia
Penyatuan
parti berbilang kaum dalam satu penubuhan yang lebih besar dinamakan sebagai
Parti Perikatan (era tahun 1950-an). Kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihan
Raya Majlis Persekutuan pada tahun 1955 membuktikan bahawa penggabungan etnik
dalam satu badan politik adalah sebagai salah satu cara untuk mendapatkan
sokongan.
b) Kerajaan demokrasi
Pengamalan
demokrasi berparlimen 1975 memudahkan rakyat untuk menyuarakan bantahan dan
ketidakpuasan etnik melalui wakil mereka. Seseorang boleh bersuara dan
mengkritik sesuatu berdasarkan undang-undang dan peraturan yang telah
ditetapkan.
c) Pertumbuhan ekonomi yang baik
Jurang
perbezaan dan tuntutan ekonomi antara semua kaum dapat dikurangkan dengan
pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Kerajaan mampu mengendalikan
program-program yang berkesan termasuklah dalam bidang pertanian, perdagangan
dan sebagainya.
d) Tolak ansur budaya
Budaya
Melayu yang diamalkan menjadi teras dalam kebudayaan kebangsaan, manakala
budaya lain boleh diamalkan oleh etnik tersebut. Tindakan menyertai majlis
perayaan dapat merapatkan hubungan dan persefahaman dalam masyarakat berbilang
kaum. Sifat-sifat kemanusiaan, keadilan dan kesederhanaan amat diutamakan dalam
Islam.
3.2.2 Tahap Integrasi
Untuk
mencapai integrasi bermasyarakat bukan sesuatu yang mudah. Tahap integrasi
boleh dilihat daripada segregasi sehingga amalgamasi.
a) Segregasi
Satu
proses sosial yang menyebabkan individu atau kumpulan sosial tertentu
dipisahkan atau diasingkan dengan individu atau kumpulan sosial lain. Pemisahan
boleh berlaku dalam beberapa situasi iaitu aspek budaya, ras, agama, kelas
sosial, dasar, adat resam, kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan,
pengangkutan dan kemudahan awam. Proses segregasi menyebabkan kumpulan etnik kurang
berkomunikasi antara satu sama lain dan peluang mereka untuk saling memahami
menjadi terhad.
Segregasi boleh berlaku secara rela
dan tanpa rela (terpaksa). Segregasi secara rela merujuk keadaan dalam golongan
manusia yang memencilkan diri dengan tujuan berada dalam kumpulan mereka
sahaja. Segregasi secara tanpa rela pula berlaku kerana paksaan daripada pihak
yang berkuasa seperti segregasi de jure. Segregasi
de jure berlaku apabila kerajaan
memaksa pengasingan atau pemisahan yang ketat ke atas individu atau kumpulan
manusia dengan pelaksanaan undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika
Selatan, iaitu antara tahun 1948-1994.
b) Akomodasi
Proses
yang menyebabkan setiap kumpulan etnik sedar serta menghormati norma dan nilai
kumpulan etnik lain yang wujud dalam sesebuah masyaraka. Oleh itu, kumpulan
etnik dapat menyesuaikan diri dalam keadaan yang pelbagai budaya supaya dapat
hidup secara harmoni dan saling menghormati. Setiap kumpulan etnik dapat
melibatkan diri secara bebas dan sama rata dalam bidang ekonomi, politik dan
pendidikan. Setiap kumpulan etnik masih bebas mengamalkan budaya mereka dalam
keadaan harmoni dan saling menghormati.
c) Akulturasi
Proses
penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok daripada
sesuatu kebudayaan lain berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok
manusia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu
kebudayaan etnik lain yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya
diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Proses ini tidak mengakibatkan
kepupusan identity asal masyarakat penerima. Proses akulturasi berlaku bermula
dengan sosialisasi primer, iaitu manusia belajar dan mengadaptasi budaya yang
paling dekat dengan mereka seperti ahli keluarga, diikuti dengan proses pembelajaran
dan penerimaan unsur-unsur baharu. Sosialisasi sekunder pula ialah proses
adaptasi dengan masyarakat yang lebih besar.
d) Asimilasi
Satu
proses yang berlaku apabila kumpulan minority atau kumpulan etnik yang baharu
mengamalkan budaya dan identity kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas
etniknya. Melalui proses asimilasi ini, masyarakat akan menjadi homogenous.
Asimilasi mutlak atau sempurna akan menyebabkan berlakunya penghapusan penuh
perbezaan dari segi kebudayaan dan identity.
Asimilasi boleh dibahagikan kepada
dua iaitu asimilasi budaya dan asimilasi struktur. Asimilasi budaya ialah satu
proses apabila kumpulan minoriti mempelajari ciri kebudayaan masyarakat tuan
rumah seperti Bahasa, pakaian dan adat resam untuk diamalkan dalam kehidupan seharian
masyarakat. Namun, hal ini tidak bermakna bahawa kumpulan minoriti akan
kehilangan identiti etniknya. Asimilasi struktur pula ialah salah satu proses
apabila anggota kumpulan minoriti berjaya menyertai institusi utama dan
aktiviti sosial dalam masyarakat dominan.
Proses asimilasi berlaku apabila
wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik berbeza budaya bagi
suatu tempoh yang lama. Umumnya, kejayaan asimilasi bergantung kepada
kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti
kumpulan etnik majoriti.
e) Amalgamasi
Istilah
amalgamasi merupakan istilah yang dikategorikan dalam asimilasi biologi, iaitu
satu tahap asimilasi yang paling tinggi. Amalgamasi merupakan satu proses yang
terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk satu jenis budaya dan
ras baharu. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah apabila
terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Proses ini memakan masa
yang lama dan biasanya melalui beberapa generasi.
3.3 RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI
Rukun
Negara berfungsi sebagai tulang belakang yang menjadi sandaran dan pegangan
negara dan rakyat Malaysia. Rukun Negara ialah satu ideologi negara yang
digubal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat dan
membimbing mereka kea rah perpaduan. Usaha penggubalan Rukun Negara dilakukan
semasa negara diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), iaitu selepas
rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Rukun Negara lahir hasil daripada
pemikiran Majlis Perundingan Negara yang diwakili oleh parti politik, kesatuan
sekerja, akhbar, pertubuhan professional, badan agama dan pelbagai pertubuhan
lain. Lesemua wakil ini diberi peluang untuk berbincang dan mencari
penyelesaian atas masalah hubungan kaum yang boleh menjamin keharmonian hidup
bersama.
Rukun Negara yang diisytiharkan pada
31 Ogos 1970 merupakan satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang
mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang mencakupi
seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan
perundangan. Setiap prinsip itu berperanan dalam melahirkan sebuah negara yang
rakyatnya hidup bersatu padu, aman dan harmoni.
Objektif Rukun Negara adalah
seperti yang berikut:
a. Mewujudkan
perpaduan yang lebih erat dalam seluruh masyarakat
b. Memelihara
cara hidup demokratik
c. Mencipta
satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama
secara adil dan saksama
d. Membentuk
satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai
corak
e. Membina
sebuah masyarakat progresif berlandaskan sains dan teknologi moden
Kelima-lima
objektif di atas terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara yang berikut:
a. Kepercayaan
kepada Tuhan
Agama
sebagai pegangan utama rakyat Malaysia. Rakyat yang beragama juga mudah
dibentuk menjadi warganegara yang baik dan bertanggungjawab. Tambahan lagi,
walaupun Islam menjadi agama rasmi persekutuan, tetapi mana-mana agama lain
boleh dianuti dengan bebas dalam persekutuan.
b. Kesetiaan
kepada Raja dan Negara
Yang
di-Pertuan Agong menjadi Ketua Negara dan raja-raja Melayu sebagai Ketua
Negeri. Rakyat seharusnya menjadikan raja sebagai simbol perpaduan rakyat.
Malahan, sesiapa yang menderhaka kepada Raja dianggap penderhaka kepada Negara.
c. Keluhuran
perlembagaan
Perlembagaan
sebagai undang-undang tertinggi negara dan rakyat dikehendaki menghormati serta
mempertahankan Perlembagaan.
d. Kedaulatan
undang-undang
Menekankan
kedaulatan undang-undang dan menghormati dengan tidak melakukan sebarang
kesalahan dari segi undang-undang. Sekiranya undang-undang dipelihara, rakyat
dapat hidup dalam suasana yang aman, makmur dan harmoni.
e. Kesopanan
dan kesusilaan
Nilai-nilai
murni melambangkan keperibadian individu dan menjamin kehidupan masyarakat yang
harmoni serta saling hormat-menghormati.
3.3.1 PERISTIWA 13
MEI 1969
Pada
tarikh tersebut, negara telah mencatatkan sejarah hitam. Rusuhan kaum antara
kaum Cina dan Melayu telah berlaku selepas Pilihan Raya 1969.
KESAN
1. Peristiwa ini membuka mata banyak pihak.
2. Para pemimpin telah sedar dan mula mengambil lebih serius isu perpaduan.
Mereka mulai jelas bahawa tindak-balas serta-merta pada peringkat awal mampu
menghentikan keganasan daripada berlaku.
3. Antara tindakan yang diambil sejurus selepas rusuhan ngeri itu tercetus
ialah:
a.
Penangkapan tokoh-tokoh yang
mendalangi rusuhan itu
b.
Mengenakan perintah berkurung
c.
Mengawal berita-berita radio
dan televisyen
d.
Menapis penerbitan
akhbar-akhbar
e.
Mengharamkan jurnal yang
diterbitkan oleh parti-parti politik, sekali gus mengharamkan kempen pilihan
raya
4. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada 1970. Bahasa Malaysia
menjadi bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.
5. Kementerian Perpaduan ditubuhkan dan ditukarkan kepada Lembaga Perpaduan
Negara yang menentukan aktiviti untuk mengukuhkan perpaduan rakyat.
6. Kerajaan turut menubuhkan Dasar Kebudayaan yang bertujuan untuk
mengekalkan perpaduan yang secara tidak langsung mampu mewujudkan integrasi
nasional dengan masyarakat Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak
sebagai fokus.
PENGAJARAN
1. Rakyat Malaysia perlulah saling menghormati antara satu sama lain.
2. Persefahaman dan toleransi penting untuk mengelakkan perasaan curiga dan
syak wasangka daripada timbul dalam kalangan etnik di negara ini.
SELAMAT DATANG!
Dalam blog ini, beberapa topik yang akan diketengahkan ialah:
STRUKTUR DAN SENARIO MASYARAKAT SEBELUM MERDEKA > KEDATANGAN MASYARAKAT ASING > PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
***
"Mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya."
- Tun Dr Mahathir Mohamad
***
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya dan identiti masyarakatnya yang berbilang kaum. Justeru lahirlah sebuah negara yang mempunyai identiti yang unik. Dengan ini juga, adalah penting untuk penduduknya mengamalkan sikap bersatu-padu dan saling bertolak-ansur antara satu sama lain.Dalam blog ini, beberapa topik yang akan diketengahkan ialah:
STRUKTUR DAN SENARIO MASYARAKAT SEBELUM MERDEKA > KEDATANGAN MASYARAKAT ASING > PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
KEPELBAGAIAN BUDAYA MASYARAKAT
MASALAH NEGARA PASCA MERDEKA DAN USAHA MENGATASI MASALAH PERPADUAN KAUM
MASALAH NEGARA PASCA MERDEKA DAN USAHA MENGATASI MASALAH PERPADUAN KAUM
JJusteru itu, diharapkan agar peristiwa yang pernah menjadi sejarah hitam negara ini menjadi iktibar buat
semua. Semoga perpaduan yang terbina selama ini mampu terjalin erat dan lebih utuh agar negara
Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat dan megah di persada dunia.
***
Rujukan:-
Normurni Mohamad, Razana Fatin Razali, Mohamad Faizal
Ahmat. (2016). Siri Politeknik: Pengajian Malaysia. Shah Alam, Selangor:
Oxford Fajar Sdn. Bhd
***
Disediakan Oleh : -
KUMPULAN 5
ROSIDA BINTI OTHMAN (02DKA15S1010)
NOORHASNIDA BINTI ALIAS (02DKA15S1004)
NOORHASNIDA BINTI ALIAS (02DKA15S1004)
NURUL FAZLIANA BINTI FAUZI (02DKA15S1009)
DKA2
NAMA PENSYARAH : USTAZ FADHILI BIN MUHAMMAD
Subscribe to:
Posts (Atom)