Wednesday, 24 February 2016

3.1          KOMPOSISI ETNIK DI MALAYSIA


MELAYU

•Penduduk asal, kumpulan terbesar di Malaysia
•Berasal daripada berbagai-bagai keturunan, iaitu Melayu Proto (Melayu Purba atau
Melayu Asal), Melayu Deutero (Melayu Lama) dan Melayu Moden. (dari Timur
Tengah, India dan China)


CINA

•Merupakan etnik kedua terbesar selepas etnik Melayu dan Bumiputera.
•Berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-19 sebagai usahawan Cina.

INDIA

•Etnik ketiga terbesar di Malaysia
•Masuk ke Tanah Melayu sebagai buruh tawanan dari Bengkulu, Indonesia dan
sebagai buruh ladang. 
MINORITI

Orang Asli yang pertama dipercayai menetap di Semenanjung Tanah Melayu
pada kira-kira 1,000TM. 
Negara ini merupakan salah sebuah kediaman yang terawal di Nusantara
(Zahari Awang, 2014). Terdapat penemuan kesan peninggalan
prasejarah di Lenggong, Perak dan Gua Niah, Sarawak. 
Penduduk terawal di negara ini ialah orang Asli di Semenanjung Tanah
Melayu, orang Punan di Sarawak serta orang Rungus di Sabah.

***

JENIS KETURUNAN MASYARAKAT MELAYU DAN CIRI-CIRI MEREKA
MELAYU PROTO
1.     Berhijrah dari Yunan, Taiwan dan seumpamanya.
2.     Kelihatan seperti orang Melayu dan fasih berbahasa Melayu.
3.     Berkembang kepada suku kaum Semang, Senoi, Temiang, Jakun, Orang Laut dan orang Sungai.
4.     Merupakan pembahagian daripada berbagai-bagai kaum yang menggabungkan beberapa suku kaum dan tinggal dalam lingkungan keluarga Melayu.
5.     Berbadan pendek, berkulit gelap dan berambut kerinting.
6.     Bilangan mereka lebih ramai berbanding dengan orang Melayu Deutero.

MELAYU DEUTERO
1.     Juga dikenali sebagai Melayu Lama.
2.     Keturunan Melayu yang mendiami kawasan Lembah Mekong dan Vietnam pada masa lampau, iaitu Melayu Funan dan Champa.
3.     Kurang berhijrah, mempunyai bahasa seragam, dan majoritinya mendiami kawasan kampung dan dusun.
4.     Berkebolehan dalam bidang pertanian, pembuatan besi dan logam.

MELAYU MODEN
 1.     Masyarakat bercampur dan berkahwin antara Melayu Proto dengan Melayu Deutero dan kumpulan yang datang dari Timur Tengah, India, China dan Eropah.
2.     Kehidupan setanding dengan bangsa Eropah, China, Jepun, dan Korea.
3.     Memilih untuk menjadi Melayu, fasih berbahasa Melayu, beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu, dan berbangga sebagai orang Melayu.
4.     Hampir semua menetap di bandar.
5.     Terdedah kepada kemajuan teknologi serta mempelajari pelbagai ilmu.
***
KETURUNAN MASYARAKAT CINA

FAKTOR LAIN KEDATANGAN IMIGRAN CINA
1 China sering dilanda malapetaka, bencana alam dan perang saudara.
2 Pelawaan saudara-mara etnik Kwantung yang terlebih dahulu datang ke Tanah Melayu dan Asia Tenggara, menyebabkan masyarakat Cina lebih tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
*Etnik Kwantung terdiri daripada orang Kanton, Teochew, Hakka dan Hailam.

* Kebanyakannya terdiri daripada peniaga. Orang Hakka bekerja sebagai pelombong bijih, manakala orang Hailam lebih suka membuka kedai kopi dan menjadi orang gaji kepada pembesar Eropah. 

 ***
KETURUNAN MASYARAKAT INDIA
1.     Masuk ke Tanah Melayu sebagai buruh tawanan dari Bengkulu, Indonesia dan sebagai buruh ladang.
2.     Bekerja sebagai buruh yang membina bangunan, jalan raya dan jambatan. Namun, majoriti bekerja di ladang-ladang tebu, kopi dan teh kepunyaan orang Eropah.
3.     Pihak British turut membawa masuk orang Ceylon (Sri Lanka) bagi berkhidmat sebagai kerani, pembantu hospital dan kakitangan perkhidmatan kereta api. Jawatan-jawatan tersebut mengambil imigran India yang berpendidikan Inggeris.
4.     Suku Malayalee yang berpendidikan diambil bekerja sebagai penyelia ladang-ladang dan estet-estet kepunyaan Inggeris.
*Mereka datang dari wilayah Malabar, turut dikenali sebagai masyarakat Malabar, dan beragama Islam. Sebahagiannya membuka kedai makan atau restoran.
5.     Selain itu, terdapat juga masyarakat Punjabi yang datang ke Tanah Melayu sebagai anggota polis dan memberi khidmat pengangkutan utama, yakni kereta lembu yang menghubungkan kawasan perlombongan dengan pengkalan-pengkalan di sepanjang sungai.
6.     Hampir 90% etnik India di Malaysia berasal dari selatan India, iaitu wilayah Tamil Nadu, Andhra Pradesh dan Malabar.

7.     Hampir 80% masyarakat Tamil menganut agama Hindu. 
 ***
KETURUNAN MASYARAKAT MINORITI

SEMENANJUNG MALAYSIA

Jadual 3.1 menunjukkan kumpulan-kumpulan orang Asli dan penempatan
mereka di Semenanjung Malaysia.



Etnik Serani: 
Masyarakat Portugis dan Belanda yang berkahwin dengan orang Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Etnik ini wujud di Melaka dan Pulau Pinang, serta merujuk kepada semua orang yang berkacukan Asia dan Eropah. Mereka turut mempunyai kebudayaan tersendiri dan asal usul yang menarik. 
***

SARAWAK


1.     Komposisi etnik Sarawak terbahagi kepada dua kumpulan; penduduk persisiran (orang Melayu dan kaum Melanau) dan penduduk pedalaman (kaum Iban, Bidayuh, Murut, Penan , Kayan, Kenyah, Punan, Kedayan dan Kelabit). 

***


***
SABAH
1.     Bermula di tepian pantai dan lembah-lembah sungai utama.
2.     Terdiri daripada 23 etnik Bumiputera dan dikenal pasti berdasarkan kawasan penempatan mereka.
3.     Contoh etnik peribumi Sabah: Kadazan, Bajau, Dusun, Murut, Loh Dayuh, Bisayah, Kadayun, Orang Sungai, Suang Lotud, Melayu/Brunei, Suluk
4.     Imigran Cina telah melebihi komposisi penduduk asal Sabah. Ini menyebabkan etnik Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum yang wujud hingga sekarang.

 JENIS DAN CIRI-CIRI KAUM DI SABAH
Kadazan Dusun
1.     Etnik terbesar di Sabah
2.     Berhijrah ke Borneo Utara kira-kira 2,000 tahun yang lalu
3.     Kegiatan ekonomi mereka bergantung kepada bentuk muka bumi dan kawasan penempatan yang didiami mereka.

Penduduk persisiran (suku Bajau, Suluk dan Brunei)
Menjalankan aktiviti menangkap hasil ikan dan memungut hasil laut dan hasil
hutan.

Etnik Murut
Kegiatan ekonomi mereka ialah menanam padi bukit (padi huma), memburu
binatang dan memungut hasil hutan.

***
3.1.5  SEJARAH DAN LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

1.     Sejarah awal penduduk Tanah Melayu berhubung kait rapat dengan penduduk asal negara ini, iaitu orang Asli, yang juga dikenali sebagai orang Melayu Proto yang tidak jauh berbeza dengan orang Melayu Moden.
2.     Sistem sosial masyarakat Melayu telah mengalami perubahan melalui kehadiran kaum-kaum lain, seperti etnik Cina dan India. Dalam erti kata lain, masyarakat berbilang kaum terbentuk di negara ini.
3.     Menerusi kegiatan perdagangan, seawal tahun Masihi lagi kemajmukan masyarakat telah mula terlihat. Faktor penyumbang kepada berlakunya perkara ini ialah kedudukan Tanah Melayu yang amat strategik, yakni di tengah laluan perdagangan antara Timur dan Barat.
4.     Hal ini telah menyebabkan Tanah Melayu menjadi fokus bagi tempat persinggahan para pedagang yang belayar dari India, China, Eropah dan Arab.
·        Orang Cina: Hubungan keselamatan antara Maharaja China dengan Kerajaan Melayu Melaka.
·        Orang India: Bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-4
5.     Sejarah membuktikan kerajaan-kerajaan Melayu Tua seperti Kerajaan Kedah, Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Gangga Negara telah menerima pengaruh Hindu-Buddha hasil pembawaan pedagang India.
6.     Selain itu, ramai pedagang asing telah berhijrah ke Melaka disebabkan oleh kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Mereka berasal dari China, India, Arab, Eropah, serta wilayah Kepulauan Melayu.

3.2 PERPADUAN NEGARA & INTEGRASI NASIONAL
Negara menghadapi pelbagai masalah dalaman berkaitan masalah perpaduan dan integrasi antara kaum selepas kemerdekaan. Masalah ini disebabkan oleh implikasi berikut:
a)     Pemisahan tempat tinggal menyebabkan kesepakatan kaum tidak dapat dicapai.
b)    Perbezaan pekerjaan menyebabkan ketidakseimbangan pendapatan dan menimbulkan masalah perpaduan.
c)     Sistem pendidikan yang berbeza menyebabkan ideologi berbeza antara kaum masing-masing dalam membina Pembangunan Negara.
d)    Fahaman politik berbeza antara kaum menyebabkan perpaduan susah dicapai kerana berbeza fahaman mengakibatkan ketidakpuasan hati antara kaum.
e)     Masalah ekonomi akan menimbulkan masalah persefahaman antara kaum kerana kesempitan hidup, ketidakseimbangan pendapatan serta sering berpecah-belah untuk mengaut keuntungan dan sebagainya.
f)      Perbezaan kepercayaan atau agama, keturunan, bahasa dan adat resam yang berbeza menimbulkan tiada toleransi dalam masyarakat kerana tiada pemahaman tentang hal tersebut.
g)     Sistem pemerintahan penjajah juga merupakan punca kepada masalah perpaduan kerana penjajah mengamalkan dasar pecah dan perintah serta rakyat di Malaysia tidak memahami budaya, agama dan bahasa etnik lain.
Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani masalah ini adalah seperti berikut:
a)     Penyeragaman sistem pendidikan – menyemai dan memupuk semangat perpaduan bermula di peringkat sekolah. Perpaduan melalui pendidikan dan kurikulum yang bersepadu serta seragam antara semua kaum. Penetapan Dasar dan Sistem Pendidikan yang sempurna bagi setiap warganegara Malaysia.
b)    Integrasi ekonomi – melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) agar jurang kemiskinan dapat dikurangkan dan seimbang di bandar serta luar bandar.
c)     Penyatuan fahaman politik – mewujudkan semangat satu negara dan persefahaman dalam satu politik yang sama untuk mewujudkan serta mengekalkan perpaduan dan dapat dibuktikan dengan penyatuan politik.
d)    Aspek-aspek sosial lain dijadikan satu cara mengekalkan perpaduan penduduk berlainan kaum dan menentukan sifat-sifat terbaik dalam membina satu bangsa yang bersepadu dan ketahanan daya yang tinggi.
Tambahan lagi, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukun Negara dibentuk untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Setiap warganegara perlu menjadikan Dasar dan Rukun Negara sebagai satu ideology nasional dalam mencapai perpaduan. Ianya adalah wajib bagi semua warganegara Malaysia bagi menjadikan Rukun Negara sebagai teras kehidupan dalam menyemai unsur-unsur keamanan, kesetiaan kepada Raja dan pemerintah, Perlembagaan, undang-undang dan saling hormat-menghormati dalam sistem kebudayaan masing-masing. Melalui aktiviti kebudayaan, perpaduan dapat dicapai kerana semua kaum dapat memahami kelainan budaya kaum lain. Unsur-unsur kebudayaan kaum lain juga diterapkan dan menjadi titik penemuan dan asas perpaduan ke arah mewujudkan satu identity nasional bangsa Malaysia.

3.21 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL

Empat faktor yang mempengaruhi hubungan etnik dalam aspek perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia:

a)     Perkongsian kuasa politik di Malaysia
Penyatuan parti berbilang kaum dalam satu penubuhan yang lebih besar dinamakan sebagai Parti Perikatan (era tahun 1950-an). Kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Majlis Persekutuan pada tahun 1955 membuktikan bahawa penggabungan etnik dalam satu badan politik adalah sebagai salah satu cara untuk mendapatkan sokongan.

b)    Kerajaan demokrasi
Pengamalan demokrasi berparlimen 1975 memudahkan rakyat untuk menyuarakan bantahan dan ketidakpuasan etnik melalui wakil mereka. Seseorang boleh bersuara dan mengkritik sesuatu berdasarkan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

c)     Pertumbuhan ekonomi yang baik
Jurang perbezaan dan tuntutan ekonomi antara semua kaum dapat dikurangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Kerajaan mampu mengendalikan program-program yang berkesan termasuklah dalam bidang pertanian, perdagangan dan sebagainya.

d)    Tolak ansur budaya
Budaya Melayu yang diamalkan menjadi teras dalam kebudayaan kebangsaan, manakala budaya lain boleh diamalkan oleh etnik tersebut. Tindakan menyertai majlis perayaan dapat merapatkan hubungan dan persefahaman dalam masyarakat berbilang kaum. Sifat-sifat kemanusiaan, keadilan dan kesederhanaan amat diutamakan dalam Islam.

3.2.2 Tahap Integrasi

Untuk mencapai integrasi bermasyarakat bukan sesuatu yang mudah. Tahap integrasi boleh dilihat daripada segregasi sehingga amalgamasi.

a)     Segregasi
Satu proses sosial yang menyebabkan individu atau kumpulan sosial tertentu dipisahkan atau diasingkan dengan individu atau kumpulan sosial lain. Pemisahan boleh berlaku dalam beberapa situasi iaitu aspek budaya, ras, agama, kelas sosial, dasar, adat resam, kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Proses segregasi menyebabkan kumpulan etnik kurang berkomunikasi antara satu sama lain dan peluang mereka untuk saling memahami menjadi terhad.
            Segregasi boleh berlaku secara rela dan tanpa rela (terpaksa). Segregasi secara rela merujuk keadaan dalam golongan manusia yang memencilkan diri dengan tujuan berada dalam kumpulan mereka sahaja. Segregasi secara tanpa rela pula berlaku kerana paksaan daripada pihak yang berkuasa seperti segregasi de jure. Segregasi de jure berlaku apabila kerajaan memaksa pengasingan atau pemisahan yang ketat ke atas individu atau kumpulan manusia dengan pelaksanaan undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan, iaitu antara tahun 1948-1994.

b)    Akomodasi
Proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik sedar serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain yang wujud dalam sesebuah masyaraka. Oleh itu, kumpulan etnik dapat menyesuaikan diri dalam keadaan yang pelbagai budaya supaya dapat hidup secara harmoni dan saling menghormati. Setiap kumpulan etnik dapat melibatkan diri secara bebas dan sama rata dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan. Setiap kumpulan etnik masih bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

c)     Akulturasi
Proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu kebudayaan etnik lain yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Proses ini tidak mengakibatkan kepupusan identity asal masyarakat penerima. Proses akulturasi berlaku bermula dengan sosialisasi primer, iaitu manusia belajar dan mengadaptasi budaya yang paling dekat dengan mereka seperti ahli keluarga, diikuti dengan proses pembelajaran dan penerimaan unsur-unsur baharu. Sosialisasi sekunder pula ialah proses adaptasi dengan masyarakat yang lebih besar.

d)    Asimilasi
Satu proses yang berlaku apabila kumpulan minority atau kumpulan etnik yang baharu mengamalkan budaya dan identity kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya. Melalui proses asimilasi ini, masyarakat akan menjadi homogenous. Asimilasi mutlak atau sempurna akan menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identity.
            Asimilasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu asimilasi budaya dan asimilasi struktur. Asimilasi budaya ialah satu proses apabila kumpulan minoriti mempelajari ciri kebudayaan masyarakat tuan rumah seperti Bahasa, pakaian dan adat resam untuk diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat. Namun, hal ini tidak bermakna bahawa kumpulan minoriti akan kehilangan identiti etniknya. Asimilasi struktur pula ialah salah satu proses apabila anggota kumpulan minoriti berjaya menyertai institusi utama dan aktiviti sosial dalam masyarakat dominan.
            Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Umumnya, kejayaan asimilasi bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti.

e)     Amalgamasi
Istilah amalgamasi merupakan istilah yang dikategorikan dalam asimilasi biologi, iaitu satu tahap asimilasi yang paling tinggi. Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk satu jenis budaya dan ras baharu. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah apabila terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Proses ini memakan masa yang lama dan biasanya melalui beberapa generasi.

3.3 RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI

Rukun Negara berfungsi sebagai tulang belakang yang menjadi sandaran dan pegangan negara dan rakyat Malaysia. Rukun Negara ialah satu ideologi negara yang digubal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat dan membimbing mereka kea rah perpaduan. Usaha penggubalan Rukun Negara dilakukan semasa negara diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), iaitu selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
            Rukun Negara lahir hasil daripada pemikiran Majlis Perundingan Negara yang diwakili oleh parti politik, kesatuan sekerja, akhbar, pertubuhan professional, badan agama dan pelbagai pertubuhan lain. Lesemua wakil ini diberi peluang untuk berbincang dan mencari penyelesaian atas masalah hubungan kaum yang boleh menjamin keharmonian hidup bersama.
            Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 merupakan satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan perundangan. Setiap prinsip itu berperanan dalam melahirkan sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu padu, aman dan harmoni.

      Objektif Rukun Negara adalah seperti yang berikut:
a.     Mewujudkan perpaduan yang lebih erat dalam seluruh masyarakat
b.     Memelihara cara hidup demokratik
c.      Mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
d.     Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak
e.     Membina sebuah masyarakat progresif berlandaskan sains dan teknologi moden
Kelima-lima objektif di atas terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara yang berikut:

a.     Kepercayaan kepada Tuhan
Agama sebagai pegangan utama rakyat Malaysia. Rakyat yang beragama juga mudah dibentuk menjadi warganegara yang baik dan bertanggungjawab. Tambahan lagi, walaupun Islam menjadi agama rasmi persekutuan, tetapi mana-mana agama lain boleh dianuti dengan bebas dalam persekutuan.

b.     Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Negara dan raja-raja Melayu sebagai Ketua Negeri. Rakyat seharusnya menjadikan raja sebagai simbol perpaduan rakyat. Malahan, sesiapa yang menderhaka kepada Raja dianggap penderhaka kepada Negara.

c.      Keluhuran perlembagaan
Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara dan rakyat dikehendaki menghormati serta mempertahankan Perlembagaan.

d.     Kedaulatan undang-undang
Menekankan kedaulatan undang-undang dan menghormati dengan tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi undang-undang. Sekiranya undang-undang dipelihara, rakyat dapat hidup dalam suasana yang aman, makmur dan harmoni.

e.     Kesopanan dan kesusilaan

Nilai-nilai murni melambangkan keperibadian individu dan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni serta saling hormat-menghormati.


3.3.1  PERISTIWA 13 MEI 1969

Pada tarikh tersebut, negara telah mencatatkan sejarah hitam. Rusuhan kaum antara kaum Cina dan Melayu telah berlaku selepas Pilihan Raya 1969.


KESAN
1.     Peristiwa ini membuka mata banyak pihak.
2.     Para pemimpin telah sedar dan mula mengambil lebih serius isu perpaduan. Mereka mulai jelas bahawa tindak-balas serta-merta pada peringkat awal mampu menghentikan keganasan daripada berlaku.
3.     Antara tindakan yang diambil sejurus selepas rusuhan ngeri itu tercetus ialah:
a.     Penangkapan tokoh-tokoh yang mendalangi rusuhan itu
b.     Mengenakan perintah berkurung
c.      Mengawal berita-berita radio dan televisyen
d.     Menapis penerbitan akhbar-akhbar
e.     Mengharamkan jurnal yang diterbitkan oleh parti-parti politik, sekali gus mengharamkan kempen pilihan raya
4.     Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada 1970. Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.
5.     Kementerian Perpaduan ditubuhkan dan ditukarkan kepada Lembaga Perpaduan Negara yang menentukan aktiviti untuk mengukuhkan perpaduan rakyat.
6.     Kerajaan turut menubuhkan Dasar Kebudayaan yang bertujuan untuk mengekalkan perpaduan yang secara tidak langsung mampu mewujudkan integrasi nasional dengan masyarakat Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak sebagai fokus.

PENGAJARAN
1.     Rakyat Malaysia perlulah saling menghormati antara satu sama lain.
2.     Persefahaman dan toleransi penting untuk mengelakkan perasaan curiga dan syak wasangka daripada timbul dalam kalangan etnik di negara ini.
SELAMAT DATANG!



***
"Mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya."
- Tun Dr Mahathir Mohamad
***
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya dan identiti masyarakatnya yang berbilang kaum. Justeru lahirlah sebuah negara yang mempunyai identiti yang unik. Dengan ini juga, adalah penting untuk penduduknya mengamalkan sikap bersatu-padu dan saling bertolak-ansur antara satu sama lain.

Dalam blog ini, beberapa topik yang akan diketengahkan ialah:

STRUKTUR DAN SENARIO MASYARAKAT SEBELUM MERDEKA > KEDATANGAN MASYARAKAT ASING > PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
  KEPELBAGAIAN BUDAYA MASYARAKAT
MASALAH NEGARA PASCA MERDEKA DAN USAHA MENGATASI MASALAH PERPADUAN KAUM

JJusteru itu, diharapkan agar peristiwa yang pernah menjadi sejarah hitam negara ini menjadi iktibar buat
semua. Semoga perpaduan yang terbina selama ini mampu terjalin erat dan lebih utuh agar negara 
Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat dan megah di persada dunia.
***
Rujukan:-
Normurni Mohamad, Razana Fatin Razali, Mohamad Faizal Ahmat. (2016). Siri Politeknik: Pengajian Malaysia. Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd
***
Disediakan Oleh : -

KUMPULAN 5

ROSIDA BINTI OTHMAN (02DKA15S1010)
NOORHASNIDA BINTI ALIAS (02DKA15S1004)
NURUL FAZLIANA BINTI FAUZI (02DKA15S1009)
DKA2

NAMA PENSYARAH : USTAZ FADHILI BIN MUHAMMAD